Saturday, August 1, 2009

Team Rugby Malaysia menewaskan China

Setinggi Tahniah kepada pasukan ragbi Malaysia yang berjaya menunjukkan satu persembahan permainan yang amat memberangsangkan dalam ke dua-dua perlawanan yang mereka harungi dalam kejohanan A5N Division 2 yang dikelolakan oleh KRM di Stadium UITM Shah Alam.

Selepas menewaskan pasukan India di peringkat playoff pada hari Rabu dengan keputusan 43 - 29, pasukan Malaysia sekali lagi turun untuk menentang pasukan China yang diletakkan sebagai pasukan pilihan selepas beberapa kali mengecewakan pasukan Malaysia sebelum ini.

China memulakan perlawanan dengan baik apabila Zhum Chen pantas memintas hantaran pemain Malaysia di kawasan 22 mereka untuk melakukan try dan seterusnya dengan mudah Bo Zhou menyempurnakan sepakan conversion untuk mendahului dengan 7 - 0 di minit pertama. Tetapi asakan Malaysia selepas itu, menyaksikan pula Nacani Seniu meloloskan diri untuk melakukan try sulong Malaysia dan seterusnya menyamakan kedudukan apabila sepakan conversion Mohamad Faiz Shamsukhidir melepasi palang.

Enam minit kemudian, Bo Zhau sekali lagi meletakkan China dihadapan apabila sepakan penaltinya melepasi palang untuk menjadikan kedudukan 10 - 07 dan 3 minit kemudian, Malaysia gagal untuk menyamakan kedudukan apabila sepakan Mohd Fairuz Abdul Rahman tersasar sebelum dia dikeluarkan kerana mengalami kecederaan di buku lali. Bagaimanapun kombinasi serangan yang dimulakan dengan gerakan solo di minit ke 22 oleh Mohamad Faiz yang di sokong oleh Nik Safuan Ismade dan seterusnya disudahkan oleh Nacani untuk try ke dua Malaysia di bawah tiang gol memberi peluang kepada Mohamad Faiz melakukan conversion mudah untuk meletakkan Malaysia dihadapan dengan skor 14 - 10.

Beberapa peluang yang diperolehi oleh Malaysia selepas itu tidak dapat disudahkan dengan baik untuk menambah mata, sebaliknya China yang menggunakan susuk tubuh mereka yang lebih besar menggempur barisan forward Malaysia untuk melakukan try dari set line-out sebelum wisel rehat dibunyikan dengan kedudukan China mendahului 15 - 14.

Separuh masa ke dua, Malaysia kembali garang selepas mendapat mandat baru dari ketua jurulatih, Deano Herewini. Empat minit selepas dimulakan, Mohamad Faiz meletakkan kembali Malaysia di hadapan dengan sepakan penalti beliau dan di minit ke 60, hasil dari sepakan "punting" Mohamad Faiz yang agak baik ke dalam kawasan China memberi peluang kepada pemain gantian Sarizan Yasir untuk melakukan try apabila bola melantun tepat ke arah beliau untuk melakukan try mudah dan seterusnya 8 minit kemudian, giliran Timoci Nacokula meloloskan diri untuk membuat try ke 4 Malaysia dan try ke 2 peribadi beliau dalam kejohanan ini. Dengan kejayaan sepakan conversion dari Mohamad Faiz, Malaysia selesa di hadapan dengan kedudukan 31 - 15.

Pemain China yang nampak sedikit keletihan selepas mengharungi 70 minit permainan dalam keadaan cuaca yang agak panas dan kekurangan pemain gantian kerana mereka hanya hadir dengan 19 pemain dalam kejohanan ini, gagal untuk bangkit bagi memberi tentangan terutamanya apabila pasukan Malaysia memasukkan semua 6 pemain gantian mereka untuk mempertahankan kubu Malaysia.

Asakan Malaysia dalam tempuh 5 minit terakhir permainan, menyaksikan Lee Wei Meng dan Semi Seruvakula mengambil giliran untuk mencatat nama sebagai penyumbang mata melalui try mereka dan Mohamad Faiz sekali lagi melaksanakan tugasannya sebagai penendang conversion untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 43 - 15.

Sorakan padu penyokong dan peminat sukan ragbi yang hadir di Stadium UITM Shah Alam sudah semestinya menjadikan kem pasukan Malaysia bersorak gembira apabila wisel penamat dibunyikan oleh Andrew Tranet dari Hong Kong.

No comments:

Post a Comment

anda mungkin nak tackle topic nie

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...